Dakwah Bermula Dari Dalam Diri.... ^_^
NABI Muhammad SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh
alam. Kelahiran baginda adalah untuk membawa sinar cahaya agar dapat
mengeluarkan manusia daripada kegelapan. Baginda bukan sahaja dianggap
sebagai penyelamat manusia daripada kemalapan duniawi seperti
kemiskinan, persengketaan dan kesengsaraan semata-mata.
Namun, apa yang lebih penting, baginda memberikan petunjuk agar
manusia dapat memilih jalan kebahagiaan, bukan jalan yang mencampakkan
diri mereka ke neraka Jahanam.
Betapa ajaran Nabi Muhammad SAW itu terlalu penting untuk manusia,
maka setiap kali baginda diancam dan digugat, Allah SWT akan memelihara
dan memberikan perlindungan. Perlindungan-Nya itu kadang-kala datang
dalam bentuk mukjizat.
Perlindungan Allah SWT juga datang dalam bentuk yang tidak dapat
dilihat iaitu; membantu baginda dalam membuat keputusan, dalam bentuk
suntikan semangat dan motivasi kepada baginda agar terus bersemangat
dalam menempuh segala rintangan yang tidak pernah bertepi.
Allah SWT juga memberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan dengan
adanya isteri-isteri serta para sahabat yang setia dan wala' kepada
arahan baginda. Merekalah yang banyak membantu sehingga menghasilkan
kejayaan dakwah selama 23 tahun dalam arenanya yang tersendiri.
Pun begitu, ini bukanlah bermaksud kejayaan dakwah Rasulullah SAW
bergantung kepada bantuan manusia. Buktinya ketika Nabi SAW kehilangan
selamanya isteri iaitu Khadijah ra dan bapa saudara, Abu Thalib.
Walaupun kedua-dua insan ini amat penting dalam kehidupan baginda, namun
dakwah yang dibawa tidak pernah terhenti.
Perjuangan Islam diteruskan dengan pergantungan penuh kepada-Nya.
Kematian Khadijah dan Abu Thalib sekali gus menangkis tohmahan golongan
orientalis dan musuh-musuh Islam yang mendakwa kejayaan dakwah baginda
bergantung kepada manusia.
Namun, hakikatnya adalah keputusan daripada Allah SWT untuk
membuktikan kepada manusia akan kekuasaan Allah SWT yang berkuasa
menentukan kejayaan kepada Rasulullah SAW tanpa ada sebarang makhluk pun
yang dapat menghalang-Nya.
Perjalanan dakwah Nabi SAW sebenarnya melalui beberapa peringkat.
Pada setiap peringkat mempunyai cabaran dan rintangannya yang
tersendiri. Di sinilah Nabi SAW dan para sahabat diuji kebenaran iman
yang mereka ikrarkan, sama ada hanya di mulut ataupun kukuh di hati
sanubari.
Pada peringkat awal, Nabi SAW dididik dan ditarbiah oleh Allah SWT sehingga umur baginda mencecah 40 tahun.
Semasa kecil, Nabi SAW diuji dengan hidup sebagai anak yatim. Baginda
dipelihara oleh datuknya, Abdul Muthalib dan kemudiannya oleh bapa
saudaranya, Abu Thalib.
Baginda pernah dibawa untuk berniaga di Syam dan beberapa tempat
lain. Kemuncaknya,Nabi SAW telah dipilih untuk meletakkan Hajarul Aswad
oleh pembesar-pembesar Quraisy. Semuanya adalah proses pentarbiahan yang
telah disusun oleh Allah SWT sebelum baginda menerima pelantikan
kerasulan.
Peringkat pertama ini memberikan gambaran kepada kita bahawa untuk
menjadi pendakwah yang hebat dan berjaya perlu bermula dengan diri kita
sendiri. Jangan terlalu sibuk dengan program-program dakwah dan tarbiah
sehingga melupakan diri kita sendiri. Allah SWT menempelak golongan yang
menyuruh orang lain berbuat kebaikan, namun mengecualikan dirinya
sendiri daripada kebaikan tersebut. (rujuk al-Baqarah: 44 dan
al-Muddatthir: 1-2)
Bertitik tolak daripada ayat ini, maka dakwah baginda bermula dengan
keluarga terdekat dan sahabat-handai. Ini satu strategi berkesan kerana
biasanya keluarga dan sahabat sudah mempunyai persefahaman dengan kita.
(rujuk asy-Syu'ara': 214)
Peringkat ini memberikan kita pengajaran bahawa menjadi tanggungjawab
yang perlu diutamakan untuk kita berdakwah kepada orang-orang yang
rapat dengan kita seperti pasangan, adik-beradik, anak-anak dan
sahabat-sahabat terdekat. Jangan terlalu sibuk memikirkan orang lain
sehingga keluarga sendiri terabai.