Friday 6 July 2012

Unite With UPM


   Pada 13 Mei 2012, Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) UTeM telah mengadakan Program Unite With UPM. Program ini telah diterajui oleh Unit A-Care PRS UTeM. Program ini telah diadakan selama sehari bertempat di Auditorium Canselori, Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Objektif utama program ini dijalankan adalah untuk menjalinkan hubungan yang erat dalam kalangan ahli Kelab PRS UTeM dan ahli Kelab Rakan Siswa (KRS) Universiti Putra Malaysia (UPM) serta mengenali dan berkongsi ilmu antara pemimpin pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan pemimpin pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Saudari Nur Qurratul Ain binti Adanan selaku Pengarah Program dari Kelab PRS UTeM dan saudari Nor Syuhada binti Nor Azman selaku Pengarah Program dari Kelab KRS UPM. Perjalanan program ini dibantu oleh saudara Mohd Firdaus Syukry bin Saudey sebagai Timbalan Pengarah Program. Segala perjalanan aktiviti yang dijalankan telah diatur dari perbincangan oleh pihak Kelab PRS UTeM dan Kelab KRS UPM.

·         Semua peserta Kelab PRS UTeM telah bertolak dari kolej kediaman masing-masing dengan menaiki bas UTeM pada pukul 7.00 pagi. Kira-kira pada pukul 8.00 pagi, semua peserta telah selamat tiba di Canselori UTeM. Peserta-peserta  Kelab PRS UTeM telah dibawa ke tempat program berlangsung iaitu di Dewan Seminar Auditorium Canselori UTeM dan diminta untuk berkumpul di Dewan makan bersebelahan dengan Dewan Seminar di situ. Peserta Kelab PRS UTeM terdiri daripada 37 orang peserta. Setelah itu, peserta-peserta diberi taklimat berkaitan perjalanan program yang akan berlangsung dan diberi sedikit refreshment yang akan digunakan semasa program, refreshment tersebut disampaikan oleh AJK Aktiviti yang diketuai oleh saudara Mohd Asyraf bin Asidin. Antara refreshment yang diajar ialah ‘Laici Kang’, ‘Pangilan Kubur’, ‘Bim Bam’ dan ‘Jambatan Goyang-goyang’.

            Tepat pada pukul 9.30 pagi, peserta Kelab Rakan Siswa (KRS) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah tiba di Canselori UTeM. Seramai 29 peserta iaitu terdiri dari 5 orang peserta lelaki dan 24 orang peserta perempuan yang hadir. Peserta-peserta daripada KRS UPM telah disambut oleh ahli jawatankuasa program dan Majlis Tertinggi PRS UTeM. Kira-kira 9.45 pagi peserta KRS UPM telah selesai mendaftarkan diri yang dikendalikan oleh AJK pendaftaran. Kesemua peserta PRS UTeM dan KRS UPM telah dialu-alukan untuk masuk ke Dewan Seminar Auditorium Canselori. Tepat pukul 9.50 pagi majlis pembukaan telah dilaksanakan oleh AJK protokol. Majlis pembukaan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu UTeM Terbilang, seterusnya diikuti bacaan doa serta ucapan alu-aluan dari presiden PRS UTeM iaitu saudara Muhammad Alif bin Norizan dan presiden KRS UPM iaitu saudara Awangku Muhammad Aisanuddin.

         Kira-kira 10.45 pagi peserta telah selesai minum pagi dan bergerak untuk masuk semula ke Dewan Seminar untuk memulakan aktiviti yang pertama iaitu Ice Breaking. Di dalam Ice Breaking ini peserta PRS UTeM dan KRS UPM telah di gabungkan melalui aktiviti yang dijalankan dengan diberi pengenalan tentang modul refreshment seperti ‘JAM’, ‘Laici Kang’, ‘Bing Bang’, ‘Pasar Borong’, dan  ‘Cinderella’. Refreshment yang diajar mempunyai pelbagai fungsi dan cara seperti refreshment ‘JAM’ mereka diajar menepuk tangan dan peha mengikut rentak dan tempoh yang telah ditetapkan. Pada pukul 12.45 petang perkongsian modul refreshment telah selesai dan perkongsian refleksi daripada Kelab KRS UPM telah dilaksanakan.

             Tepat pada pukul 1 petang, kesemua perkongsian modul dan aktiviti Ice Breaking telah selesai. Kesemua peserta dijemput untuk ke Dewan Jamuan untuk menjamu makan tengah hari. Kira-kira pukul 1.30 petang peserta diiring untuk ke Masjid UTeM bagi mempersiapkan diri untuk menunaikan solat Zohor berjemaah serta persiapan diri untuk aktiviti riadah pada waktu petang. Tepat pada pukul 2.30 petang peserta diiring untuk masuk ke dalam Dewan Seminar. Dalam sesi ini, peserta dipecahkan kepada tujuh kumpulan di mana setiap kumpulan terdiri daripada Kelab PRS UTeM dan Kelab KRS UPM. Di dalam sesi ini juga peserta sekali lagi diberi pendedahan kepada modul baharu yang diperkenalkan oleh kelab PRS UTeM iaitu modul yang bernama ‘HOBIKU’. Di dalam HOBIKU ini peserta pada setiap kumpulan diminta menghantar seorang wakil dari kumpulan masing-masing. Wakil dari setiap kumpulan itu diminta untuk keluar dewan dan diberi sedikit taklimat oleh AJK Aktiviti tentang apa yang perlu dilakukan, manakala peserta di dalam dewan juga diberi sedikit arahan dan taklimat oleh AJK Aktiviti berkaitan dengan aktiviti yang sedang dijalankan. Apabila aktiviti dimulakan kelihatan kesemua peserta gembira dan ceria.

           Selepas selesai perkongsian modul daripada Kelab PRS UTeM, Kelab KRS UPM diberi peluang untuk berkongsi modul daripada mereka. Kelab PRS UTeM telah diberi peluang untuk memilih aktiviti modul yang menggunakan IQ dan permainan. Kelab PRS UTeM memilih aktiviti modul yang menggunakan IQ. Dalam aktiviti ini, peserta diberikan sehelai kertas dan diarahkan untuk melakarkan garisan 8 x 8 pada setiap kotak garisan. Nama modul ini ialah ‘Queen Chess’ di mana peserta diminta untuk meletakkan lapan Queen di kotak yang disediakan tanpa membunuh Queen yang lain. Modul ini memerlukan kerjasama antara ahli kumpulan dan memerlukan daya IQ yang mantap bagi menyelesaikan masalah yang diberikan. Modul ini juga memupuk sikap bantu membantu dan kerjasama dalam sesuatu organisasi dan memerlukan kepintaran dalam mencari jalan penyelesaian dengan kadar yang pantas. Kira-kira pada pukul 5 petang perkongsian modul diantara kelab PRS UTeM dan kelab KRS UPM telah pun selesai.

             Aktiviti seterusnya dijalankan di sekitar perkarangan Canselori untuk aktiviti riadah. AJK Aktiviti sekali lagi ditugaskan untuk melaksanakan aktiviti dengan lancar, saudara Mohd Firdaus Syukry bin Saudey selaku AJK Aktiviti telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan modul ini. Aktiviti seterusnya ialah ‘Mafia War’ di mana semua peserta dikumpulkan menjadi satu bulatan besar dan peserta disuruh menutup mata.  Kira-kira pada pukul 6 petang, aktiviti Mafia War telah pun selesai.

             Seterusnya, rumusan daripada aktiviti Mafia War telah diterangkan oleh saudara Mohd Firdaus Syukry bin Saudey. Pada waktu yang sama sedikit kejutan telah pun dibuat oleh ahli Kelab PRS UTeM dan ahli Kelab KRS UPM bagi menyambut Hari Lahir selaku bendahari Majlis Tertinggi Kelab PRS UTeM iaitu saudari Nur Ainina Masturah binti Kamal dan saudari Nor Madihah binti Md. Nor daripada Kelab KRS UPM. Sesi bergambar telah dijalankan pada ketika itu.

       Tepat pada pukul 6.35 petang peserta diiring ke Masjid UTeM bagi menunaikan solat Asar dan mempersiapkan diri untuk majlis penutup dan makan malam. Kira-kira pada pukul 8 malam peserta telah berada di Dewan Seminar Auditorium Canselori UTeM. Acara seterusnya dilaksanakan oleh AJK Protokol di mana Majlis Penutupan Program berlangsung. Peserta diberikan sedikit santapan tontonan montaj dari kelab PRS UTeM yang ditugaskan oleh AJK Publisiti dan Multimedia iaitu saudara Amir Hamzah bin Kamarul Bahrin. Seterusnya majlis menjemput pengarah program Kelab PRS UTeM dan Kelab KRS UPM untuk memberikan ucapan.
         Seterusnya Majlis penukaran cenderahati telah dijalankan bagi kedua-dua kelab. Penukaran cenderahati disampaikan oleh Presiden Kelab PRS UTeM dan Presiden Kelab KRS UPM. Majlis penutupan diserikan lagi dengan sesi fotografi untuk mencatatkan kenangan antara Kelab PRS UTeM dan Kelab KRS UPM. Sedikit refreshment dilakukan semula bagi memeriahkan suasana. Seterusnya, pada pukul 9 malam peserta dijemput untuk ke dewan makan bagi menjamu selera dengan majlis makan malam. Pelbagai warna pakaian yang meriah telah dipakai oleh peserta. Makan malam diserikan lagi dengan nyanyian Karaoke. Hidangan makan malam telah disediakan oleh AJK Jamuan. Peserta kelihatan sangat berselera menikmati hidangan yang disediakan.

            Tepat pukul 9.45 malam, peserta dibenarkan pulang. Kelab KRS UPM mengucapkan selamat tinggal dan diiringi oleh barisan exco PRS UTeM ketika sesi bersurai. Setelah itu, semua peserta  bertolak pulang ke kolej kediaman masing-masing dengan menaiki bas UTeM.

   Kesimpulannya, program ini telah dilakukan dengan jayanya di mana ia dapat mengeratkan silaturrahim dikalangan ahli Kelab PRS UTeM dan ahli kelab KRS UPM. Setiap aktiviti-aktiviti  yang dijalankan dapat melatihkan mereka untuk bekerja secara berkumpulan. Ini dapat mewujudkan sifat bekerjasama dikalangan ahli Kelab PRS UTeM dan ahli Kelab KRS UPM. Di samping itu, program ini juga dapat mewujudkan nilai-nilai murni serta berlaku revolusi pertukaran modul secara tidak langsung telah mematangkan lagi pengalaman dalam diri setiap ahli Kelab PRS UteM dan ahli Kelab KRS UPM melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan mahupun yang  sedia ada.