Friday, 22 November 2013

PROGRAM MOTIVASI ‘JOM P-KAMPUNG’ 2013

Pada 19 Oktober 2013, Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) telah mengadakan program motivasi ‘Jom P-Kampung’ bertempat di Rumah Anak Yatim dan Miskin (PAYASUM), Sungai Udang, Melaka.
Program ini melibatkan 33 penyertaan daripada pihak UTeM yang terdiri daripada 6 orang Ahli Jawatan Kuasa (AJK), 10 orang fasilitator dan 17 orang peserta. Penyertaan daripada PAYASUM adalah seramai 57 orang yang terdiri daripada 25 peserta lelaki dan 32 peserta perempuan. 

Pelajar UTeM bersarapan bersama anak-anak yatim dan miskin setibanya di PAYASUM pada pukul 8.30 pagi. Program bermula pada pukul sembilan pagi dan berakhir pada lima petang. Aktiviti program bermula dengan sesi ‘ice breaking’ bersama para peserta. Aktiviti ini bertujuan untuk mewujudkan suasana yang selesa di kalangan peserta disamping mengurangkan rasa takut dan tertekan dalam diri peserta.

Sebelum program ini diteruskan, para peserta diberikan fail cenderahati yang mengandungi sebatang pen dan sebuah buku. Para peserta dibahagikan kepada sepuluh kumpulan yang terdiri daripada peserta UTeM dan peserta PAYASUM. Setiap kumpulan ditugaskan untuk memilih nama kumpulan dan membuat ‘cheers’ untuk kumpulan masing-masing. Pada pukul 10.45 pagi, program ini diteruskan lagi dengan latihan dalam kumpulan (LDK) pertama. Seterusnya, dua orang wakil daripada setiap kumpulan perlu dihantar bagi menjalankan permainan “Paku Race”. Peserta perlu membawa paku-paku yang telah dibina tersebut ke garisan penamat. Aktiviti ini menguji kesabaran, ketekunan dan semangat berpasukan antara ahli kumpulan.

Aktiviti seterusnya dijalankan pada pukul 11.45 pagi. Setiap peserta termasuk fasilitator dibekalkan dengan sehelai kertas. Kertas tersebut dilipat kepada lapan bahagian. Kejujuran dan keikhlasan setiap peserta diuji melalui aktiviti ini.

Pada pukul 12.05 tengah hari, LDK kedua iaitu Permainan Kotak Beracun dijalankan. Seterusnya, lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir dimainkan bagi menaikkan kembali semangat para peserta untuk meneruskan aktiviti lain. Setelah itu, program dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada para peserta untuk makan tengah hari dan menyempurnakan solat Zohor secara berjemaah.

Pada pukul 2.30 petang, ‘refreshment’ dilakukan sebelum LDK ketiga iaitu Hobiku dijalankan. Aktiviti ini bertujuan bagi menyedarkan setiap peserta supaya tidak terlalu cepat menilai orang daripada luaran semata-mata. Pada pukul 4.15 petang, majlis penutup dilangsungkan. Pihak UTeM memberi sedikit sumbangan wang dan baju kepada Rumah Anak Yatim & Miskin. 

Program berakhir pada jam 4.30 petang. Sebelum meninggalkan program, sesi pengambaran bersama-sama semua peserta yang terlibat. Pelajar UTeM bertolak pulang pada jam 5.30 petang.




No comments:

Post a Comment