Secebis kata dari Mantan Presiden 2007-2008
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya;
Selamat datang dan sekalung tahniah saya ucapkan kepada anda semua kerana telah berjaya melangkah masuk ke UTeM. Adalah diharapkan agar anda semua akan dapat meneruskan kecermerlangan di sini seterusnya mencapai kejayaan yang diinginkan.
Carls Rogers, seorang ahli psikologi menyatakan dalam satu kajiannya bahawa manusia berpotensi untuk bersikap positif dan kongruen. Namun begitu, dalam sesetengah kes, keadaan tidak kongruen dalam diri mahasiswa ketika berhadapan dengan permasalahan pembelajaran, kewangan, kekeluargaan mahupun perhubungan sesama rakan mahupun teman istimewa dan sebagainya akan menjadikan mereka stress dan seterusnya mengambil pendekatan atau jalan penyelesaian yang bersifat negatif. Maka, adalah menjadi hasrat Kelab Pembimbing Rakan Siswa untuk menerapkan pendekatan asas kaunseling kepada ahlinya agar dapat menunjukkan jalan penyelesaian yang bersifat positif dan memberi bantuan dari segi psikologi kepada rakan-rakan yang lain.
Kajian psikologi juga menunjukkan bahawa remaja akan merujuk kepada rakan sebaya terlebih dahulu sebelum sesuatu permasalahan itu dibincangkan bersama ibu bapa, kaunselor atau pentadbir di sesuatu institusi atau organisasi. Hal ini disebabkan rakan sebaya adalah merupakan orang yang paling hampir dalam kehidupan mereka. Golongan ini merupakan medium yang paling mudah untuk meluahkan perasaan dan berkongsi pengalaman hidup kerana tiada beza jarak umur serta merupakan orang yang sentiasa berada di sisi semasa berada di kampus. Maka, peranan ahli PRS adalah sangat relevan di mana banyak permasalahan akademik, sahsiah, personaliti, emosi dan penyesuaian diri di kampus akan dapat dikongsi bersama ahli PRS dengan mudah, selesa dan mesra.
Kelab ini juga ditubuhkan khusus untuk memberi pendedahan kepada ahli PRS agar mereka memiliki kemahiran asas pemudahcara dan kaunseling bagi membantu rakan-rakan mereka yang menghadapi permasalahan pembelajaran, sahsiah, personaliti, kewangan, peribadi dan sebagainya. Di samping itu, kursus ini akan membentuk keyakinan diri, kemahiran insaniah ataupun ‘soft-skill’, ‘self-esteem’ dan kewibawaan sebagai ahli PRS UTeM yang unggul dan berprestasi tinggi.
Akhir sekali, saya berharap agar ahli-ahli yang baru mendafar ke dalam Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) UTeM pada tahun ini akan dapat memanfaatkan segala aktiviti, kursus, konvensyen, seminar dan pelbagai lagi dan mengikutinya dengan sebaik mungkin bagi mengilap diri untuk menjadi ahli kelab serta seorang mahasiswa yang bersahsiah unggul, berwibawa, bertoleransi, matang, berilmu dan seterusnya sentiasa bersedia membantu rakan-rakan mahasiswa yang menghadapi permasalahan emosi dan akademik.
Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya berkongsi satu frasa yang menjadi pegangan sepanjang keterlibatan saya dalam Kelab PRS ini.
“Don't walk behind me, I may not lead. Don't walk in front of me, I may not follow.
Just walk beside me and be my friend.”
Dikarang pada 13 Julai 2008
No comments:
Post a Comment